Pelan Pelaburan

Adakah Barang Kemas Satu Pelaburan?

Adakah anda membeli barang kemas kerana anda meminatinya? Atau anda beranggapan barang kemas boleh dijadikan pelaburan seperti emas? Pertama, anda perlu tahu bahawa terdapat perbezaan antara melabur dalam emas (contohnya jongkong) dan barang kemas. Jika anda berfikiran bahawa dengan membeli barang kemas, ia boleh dijadikan sebagai aksesori dan pelaburan, maka berikut adalah faktor-faktor yang mungkin anda boleh pertimbangkan sebelum membuat pelaburan.

Nilai Jualan Semula

Pada hakikatnya, bukan mudah untuk menjual semula barang kemas yang telah anda beli, apatah lagi untuk menjana keuntungan yang lumayan hasil daripada jualan tersebut. Anda perlu melalui proses yang rumit. Sebagai permulaan, anda perlu mencari pembeli yang bertauliah dan yang tidak akan mengurangkan harga sebenar barang kemas anda. Pastikan juga anda masih menyimpan resit pembelian barang kemas anda terdahulu.

Selain itu, anda perlu fokus terhadap perkara berikut untuk memaksimumkan nilai jualan barang kemas anda:

  • Anda perlu memahami nilai dan tahap ketulenan barang kemas anda. Ini ditentukan oleh nilai karat, iaitu semakin tinggi nilai karat, maka semakin tinggi ketulenan emas dalam barang kemas anda.
  • Terdapat pelbagai jenis barang kemas dengan nilai yang berbeza. Dari emas 18 karat kepada rose gold dan juga pink gold, ia boleh mengelirukan. Anda boleh terpedaya jika anda tidak mengetahui nilai sebenar barang kemas anda.
  • Ingin menjual barang kemas pusaka? Barang kemas antik biasanya memiliki nilai yang lebih tinggi, ditambah pula dengan ukiran dan seni tukangan pada barang kemas tersebut

Tunggu dahulu! Walaupun anda mungkin membeli sebentuk barang kemas dengan harga yang mahal disebabkan oleh ukiran dan seni tukangannya, namun pembeli biasanya tidak akan mengambil kisah faktor tersebut untuk menentukan harga. Selain itu, pembeli juga akan cuba untuk tawar-menawar harga barang kemas tersebut. Jadi, anda mungkin sukar untuk mendapat balik modal daripada pelaburan’ anda. Jadi bayangkan agak sukar untuk anda menjangkakan keuntungan yang bakal anda perolehi. 

Emas Kuning vs Emas Putih

Emas putih merupakan barang perhiasan yang terdiri daripada campuran emas tulen dengan logam aloi. Emas putih mempunyai nilai yang lebih rendah daripada emas kuning disebabkan oleh campuran tersebut. Selain itu, percampuran tersebut bermaksud emas putih mempunyai taraf ketulenan yang kurang berbanding emas kuning. Beli sekiranya anda mampu serta menyukai emas putih, tetapi bukan sebagai pelaburan.

Risiko Pelaburan yang Tinggi

Kemungkinan lebih tinggi bahawa anda akan memakai barang kemas yang anda beli berbanding daripada menyimpannya. Oleh itu, sekiranya anda menjadikan barangan kemas sebagai pelaburan, ia akan lebih terdedah dengan risiko kehilangan, kecurian atau bencana. Sekiranya barangan kemas tersebut dicuri atau hilang, maka hilang juga pelaburan anda begitu sahaja. Selain itu, barangan kemas juga mempunyai ‘sentimental value’, dan dalam adat, biasanya ia akan menjadi harta turun-temurun. Maka, walaupun nilainya boleh meningkat, ia tidak sesuai dijadikan sebagai pelaburan.

Jadi, pelaburan apa yang patut diceburi?

Apa kata anda pertimbangkan untuk melaburkan wang anda dalam pelaburan yang akan menjana lebih keuntungan. Contohnya, anda boleh melabur wang dalam deposit tetap, unit amanah atau saham. Namun, sekiranya anda ingin melabur dengan emas, laburlah duit anda dalam emas tulen dan fizikal, seperti jongkong emas dan dinar emas. Buat pertimbangan secara bijak!

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 82/Februari 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button