Pengurusan HutangPerancangan Kewangan

Adakah Anda Terlalu Banyak Berhutang?

Anda boleh menggunakan nisbah hutang kepada pendapatan untuk mengetahui sama ada anda terlalu banyak berhutang. Nisbah ini membandingkan pendapatan anda dengan pembayaran balik pinjaman secara tetap, seperti ansuran rumah dan kenderaan bermotor serta bayaran kad kredit.

Pendapatan bulanan kasar Anda : RM 5,000

Pembayaran balik pinjaman secara tetap setiap bulan : RM 1,000

Nisbah hutang kepada pendapatan : RM 1,000 = 20%

Jika pendapatan anda berubah-ubah setiap bulan, gunakan pendapatan purata anda dalam pengiraan. Kebanyakan institusi perbankan akan mengira nisbah hutang kepada pendapatan anda semasa membuat pertimbangan terhadap permohonan pinjaman anda. Lazimnya nisbah hutang kepada pendapatan yang boleh diterima adalah sehingga tahap maksimum 30%.

Tanda-tanda Amaran Masalah Pembayaran Balik Hutang

a) Anda sentiasa berbelanja melebihi pendapatan anda.
b) Had kredit bagi kebanyakan kad kredit anda telah digunakan sepenuhnya.
c) Anda selalu meminjam wang untuk menampung perbelanjaan dari satu tarikh gaji ke tarikh gaji yang akan datang.
d) Anda hanya membayar amaun minimum bagi pembayaran balik pinjaman anda apabila cukup tempohnya dan bukan untuk mengurangkan jumlah hutang anda.
e) Anda sering berselisih faham dengan suami/isteri anda berhubung dengan soal wang.

Apabila anda sukar untuk membayar balik hutang, tanganilah masalah itu dengan segera supaya ia terkawal. Jangan abaikannya kerana beban hutang boleh bertambah buruk, dan mungkin mengakibatkan anda berada dalam keadaan yang tidak boleh diurus lagi.

Apakah tindakan yang boleh diambil dalam menangani masalah pembayaran balik hutang. Jika anda menghadapi kesukaran membayar balik hutang, anda boleh mengambil beberapa atau semua tindakan berikut:-

Institusi perbankan perlu diberitahu lebih awal oleh peminjam apabila mereka menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman.

a) Hubungi institusi perbankan anda – jelaskan masalah anda kepada mereka. Institusi perbankan perlu diberitahu lebih awal oleh peminjam apabila anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman. Ini bagi memastikan jalan penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak dapat diambil ketika masalah itu masih boleh diurus. Secara amnya, institusi perbankan akan mempertimbangkan permintaan untuk mengubah amaun pembayaran balik untuk tempoh sementara atau menstrukturkan semula pinjaman itu dengan mengubah terma dan syarat perjanjian pinjaman terdahulu. Permohonan anda perlu disokong oleh butiran yang relevan serta dokumen sokongan yang dikemukakan kepada institusi perbankan sebagai bukti kedudukan kewangan anda. Perlu diingat bahawa institusi perbankan pada amnya tidak mahu peminjamnya mempunyai tunggakan pembayaran balik pinjaman. Oleh itu, jangan keberatan untuk berbincang dengan institusi perbankan anda.

b) Buat belanjawan – sediakan satu pelan belanjawan dan belanjalah mengikut pelan itu.

c) Kurangkan perbelanjaan anda – buat satu rancangan perbelanjaan berdasarkan belanjawan. Memandangkan belanjawan menunjukkan jumlah perbelanjaan (tetap dan berubah) dengan jelas, ini memudahkan anda untuk menentukan perbelanjaan yang boleh dikurangkan atau dihapuskan. Rancangan perbelanjaan hendaklah mengambil kira perbelanjaan yang perlu seperti bayaran ansuran pinjaman perumahan, penjagaan kesihatan, bil utiliti dan yuran pendidikan. Untuk memastikan rancangan perbelanjaan berkesan, anda perlu mematuhinya serta membuat perubahan sewajarnya terhadap gaya hidup anda.

d) Jangan mengambil sebarang pembiayaan baru sehingga aliran tunai anda bertambah baik. Di samping itu, jika anda merasakan bahawa anda kurang berdisiplin untuk mengawal penggunaan kad kredit, pulangkan dan batalkan semua kad kredit anda. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk memindahkan baki kad kredit yang mempunyai kadar faedah yang tinggi kepada kad kredit yang mengenakan kadar faedah yang lebih rendah.

e) Usahakan untuk menambah pendapatan anda. Contohnya dengan membuat kerja sambilan. Sebarang pendapatan tambahan, bersama-sama dengan perbelanjaan yang terkawal akan membantu mengurangkan hutang anda.

f) Jual aset anda untuk membayar hutang. Contohnya, jika anda memiliki rumah yang besar, anda mungkin mahu mempertimbangkan untuk menjual rumah dan membeli rumah yang lebih sederhana bagi mengurangkan hutang anda.

Nasihat daripada Pihak Berkecuali

Jika anda memerlukan bantuan khidmat nasihat dalam pengurusan hutang, anda boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK telah ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2006 untuk menawarkan perkhidmatan kaunseling kredit pengguna dan pengurusan hutang untuk individu. Selain itu, AKPK menyediakan program pendidikan kewangan mengenai pengurusan kredit secara betul dan kemahiran asas penggunaan wang. Perkhidmatan AKPK adalah percuma. Anda boleh menghubungi AKPK di alamat seperti berikut:-

Agensi Kaunseling dan Pengurusan
Kredit (AKPK)
Level 8, Maju Junction Mall
1001 Jalan Sultan Ismail
50250 Kuala Lumpur
Talian bebas tol        : 1-800-88-2575
Laman sesawang       : www.akpk.org.my

Sumber : bankinginfo/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 17/September 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button