Pelan PelaburanPengguna

Adakah Anda Mangsa Penipuan Pelaburan Seterusnya?

Adakah anda mudah terpedaya dengan penipuan dalam pelaburan? Jawab soalan kuiz ini untuk menguji diri anda.

  1. Anda sentiasa mengaitkan pelaburan dengan:
    1. Keuntungan 100%
    2. Pulangan terjamin tanpa risiko
    3. Wang anda berganda dalam masa singkat!
    4. Tiada satu pun di atas.
  1. Yang mana antara kenyataan di bawah BENAR-BENAR menggambarkan falsafah pelaburan anda?
    1. Saya hanya akan melabur dalam pelaburan yang memberikan pulangan tinggi tanpa
    2. Saya akan melabur dalam pelaburan yang bersesuaian dengan daya toleransi saya terhadap risiko.
    3. Saya akan melabur dalam pelaburan yang boleh menggandakan wang saya dalam masa singkat.
    4. Saya akan melabur dalam pelaburan yang dicadangkan oleh rakan-rakan rapat saya.
  1. Anda ditawarkan kerja sebagai eksekutif dagangan di sebuah firma pembrokeran komoditi asing. Jawatan itu memerlukan anda mendapatkan sebanyak nama pelanggan yang boleh untuk berdagang dalam kontrak niaga hadapan kacang merah di Macau. Anda diberitahu bahawa pelaburan itu menghasilkan pulangan tinggi dalam tempoh masa singkat. Pelanggan anda perlu memasukkan wang sebanyak AS$3,000 sebagai deposit margin di syarikat anda. Komisen anda adalah berdasarkan jumlah wang yang didepositkan oleh pelanggan anda di syarikat itu. Apakah tindakan anda selanjutnya?
    1. Mula mencari kawan dan ahli keluarga untuk dijadikan pelanggan.
    2. Anda dengan segera menghubungi pihak pengawal selia untuk memastikan sama ada syarikat itu mempunyai lesen untuk berdagang dalam niaga hadapan kacang merah di Macau.
    3. Anda sendiri melabur dalam kontrak niaga hadapan kacang merah itu untuk mencuba nasib.
    4. Cuba mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pelaburan itu daripada kawankawan anda yang juga bekerja di syarikat itu.
  1. Bagaimana anda hendak mengesahkan sama ada seseorang ejen unit amanah itu mendapat kebenaran untuk mempromosi/menjual unit amanah?
    1. Minta kad perniagaannya.
    2. Minta kad kebenaran yang dikeluarkan oleh Persekutuan Pengurus-Pengurus Amanah Saham Malaysia.
    3. Tidak perlu disahkan kerana sesiapa sahaja boleh mempromosikan atau menjual produk unit amanah.
    4. Periksa surat kebenaran daripada syarikat unit amanah berkenaan.
  1. Ejen unit amanah meminta anda memberikan wang tunai supaya dia boleh membeli unit amanah bagi pihak anda, Apakah yang anda lakukan?
    1. Memberikan wang kepadanya.
    2. Memberikan wang kepada ejen itu dan meminta dia memberikan anda resit dengan segera.
    3. Menyerahkan cek yang tertulis namanya.
    4. Enggan memberi wang tunai.
  1. Jika anda mahu memeriksa status lessen syarikat broker saham, yang mana antara laman sesawang berikut menjadi sumber maklumat yang anda perlukan?
    1. thestockbroker.com.my
    2. sc.com.my
    3. licensedcompany.com.my
    4. licensedbrokers.com.my
  1. Seorang rakan rapat memujuk anda melabur dalam satu skim pelaburan luar pesisir yang eksklusif, yang menjamin pulangan 200% dan bebas cukai. Apakah yang akan anda lakukan?
    1. Bersetuju membuat pelaburan itu kerana anda percaya penuh kepada rakan anda itu.
    2. Minta bahan-bahan bertulis mengenai pelaburan itu dan melabur setelah anda membacanya.
    3. Periksa dengan pengawal selia untuk memastikan sama ada mereka mempunyai sebarang maklumat mengenai skim pelaburan tersebut.
    4. Bersetuju melabur hanya jika rakan anda boleh menunjukkan iklan atau berita mengenai skim pelaburan itu di media atau di internet.
  1. Untuk melindungi diri anda daripada penipuan pelaburan, mana antara langkah-langkah berikut yang akan anda ambil?
    1. Baca dan fahami prospektus pelaburan dan laporan tahunan.
    2. Dapatkan nasihat daripada professional kewangan berlesen.
    3. Bersikap was was dan bertanya banyak soalan mengenai pelaburan itu.
    4. Semua di atas.
  1. Anda akan melabur dalam sesuatu skim pelaburan jika:
    1. Bahan-bahan promosi dan laman sesawang syarikat itu kelihatan profesional dan meyakinkan.
    2. Pejabat syarikat terletak di kawasan yang berprestij dan nama syarikat yang rasmi bunyinya.
    3. Kakitangan syarikat berpakaian mahal dan bergaya dan memandu kereta mewah.
    4. Tiada satu pun di atas.
  1. Jika anda menjadi mangsa penipuan pelaburan, apa yang anda lakukan?
    1. Diamkan sahaja.
    2. Salahkah nasib anda yang malang.
    3. Buat laporan/aduan dengan pihak berkuasa yang berkaitan dengan segera.
    4. Bayar orang yang tidak dikenali, yang memberi jaminan bahawa dia boleh mendapatkan semula sepenuhnya jumlah wang yang anda kerugian itu.

Setelah selesai menjawab soalan kuiz ini, sila lihat huraian jawapan dibawah:-

Jawapan:

  1. (d) Jika anda mengaitkan pelaburan dengan keuntungan 100%, pulangan terjamin dan menggandakan wang anda, maka anda lebih mudah terpedaya dengan penipuan pelaburan. Kebanyakan penipuan dalam pelaburan menjanjikan pulangan tinggi tanpa membabitkan risiko untuk menarik orang ramai melabur.
  2. (b) Pilihan pelaburan anda mestilah menyamai ketahanan anda terhadap risiko. Jika anda seorang yang tidak bersedia menghadapi risiko, pastikan anda melabur dalam skim pelaburan yang berisiko rendah. Bagi mengetahui risiko setiap produk pelaburan, hubungi remisier anda atau profesional kewangan berlesen.
  3. (b) Sentiasa membuat pemeriksaan dengan pengawal selia, misalnya Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara, untuk mengesahkan sama ada syarikat berkenaan telah diberikan lesen dan dibenarkan untuk menawarkan atau memasarkan produk pelaburan kepada orang ramai.
  4. (b) Persekutuan Pengurus-pengurus Amanah Saham (FMUTM) bertanggungjawab bagi mendaftarkan semua individu yang hendak memasarkan dan mengedarkan unit amanah. Apabila berurusan dengan ejen ini, anda harus meminta ‘Kad Kuasa’ yang dikeluarkan oleh FMUTM. Bagi maklumat lanjut tentang ejen, layari laman sesawang FMUTM di fmutm.com.my
  5. (d) Jangan memberi wang tunai kepada ejen unit amanah. Sentiasa keluarkan cek kepada pemegang amanah atau individu yang diberikan kuasa seperti yang terdapat dalam prospektus. Itulah sebabnya anda perlu membaca prospectus sebelum melabur.
  6. (b) Untuk semakan segera sama ada sesebuah syarikat itu mempunyai lesen atau diberikan kuasa untuk menjalankan atau menawarkan aktiviti pelaburan, layari laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti di sc.com.my atau hubungi Jabatan Pelesenan Suruhanjaya di nombor 03-6204 8000.
  7. (c) Waspada terhadap syarikat pelaburan yang menawarkan pelaburan dengan kadar pulangan yang tinggi dan beroperasi di lokasi luar pesisir seperti Kepulauan Bahamas, Macau, British Virgin Island atau sebarang lokasi luar pesisir yang eksotik. Penipu gemar menggunakan lokasi antarabangsa seperti ini untuk menaikkan kredibiliti mereka.
  8. (d) Sebelum melabur, buat penyelidikan terlebih dahulu. Pastikan anda faham apa yang anda beli. Baca laporan tahunan dan prospectus skim pelaburan tersebut, dan dapatkan bantuan remisier anda atau profesional kewangan berlesen bagi memahami sepenuhnya maklumat yang dizahirkan dalam dokumen tersebut. Hubungi Suruhanjaya Sekuriti untuk mengesahkan sama ada syarikat itu berlesen atau dibenarkan untuk menawarkan skim pelaburan itu.
  9. (d) Sesebuah syarikat mungkin mempunyai nama yang rasmi bunyinya, dengan pejabat yang berprestij dan terletak di lokasi utama, lengkap dengan laman sesawang yang kelihatan profesional, tetapi itu tidak bermakna syarikat itu sah. Sentiasa semak dahulu dengan Suruhanjaya Sekuriti.
  10. (c) Jika anda berjumpa atau menjadi mangsa penipuan pelaburan, buat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti (Jabatan Hal Ehwal Pelabur & Pengaduan: 603-6204 8999). Untuk belajar bagaimana mengenal pasti penipuan pelaburan, baca artikel tentang “Cara Mengenal Skim Penipuan” dalam Ringgit sebelum ini.

Sumber : www.min.com.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 50/Jun 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button