Pelan Perlindungan

8 Perkara Anda Perlu Tahu Sebelum Membeli Insurans Hayat / Takaful Keluarga

Artikel kali ini akan menumpukan perhatian anda tentang cara untuk memilih insurans hayat / takaful keluarga yang sesuai untuk diri anda. Hal ini juga dapat memberi anda panduan agar anda tidak mengambil terlebih polisi atau membeli polisi yang tidak berkaitan atau membayar lebih daripada yang anda perlukan.

1 – Periksa kesahihan ejen insurans dan keperluan insurans / takaful anda

Sebelum membuat keputusan membeli insurans / takaful, anda perlu memastikan ejen tersebut berdaftar dengan syarikat insurans / pengendali takaful yang berkenaan. Berbincang dengan ejen insurans / takaful agar ejen tersebut boleh membantu anda menilai keperluan insurans / takaful anda dan memberikan anda maklumat mengenai polisi-polisi yang ditawarkan.

2 – Kepentingan pendedahan maklumat diri anda

Anda mestilah memberikan semua fakta dalam borang permohonan anda sepenuhnya, dan secara jujur terutamanya maklumat tentang tahap kesihatan anda dan sejarah perubatan anda yang lepas. Sekiranya ejen anda mengisikan borang permohonan untuk anda, baca dan fahamilah keperluan dalam borang tersebut dengan teliti sebelum anda menandatangani borang berkenaan. Jika tidak, polisi insurans hayat / takaful keluarga anda mungkin boleh terbatal.

3 – Tentukan berapa banyak perlindungan yang diperlukan

Sekiranya anda sebagai ketua keluarga, keperluan anda untuk mengambil insurans / takaful sangat penting. Musibah tidak dijangka dan boleh menimbulkan masalah kewangan kepada tanggungan anda, seperti isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Persoalannya, berapa banyak perlindungan yang anda perlukan? Anda perlu membuat keputusan berdasarkan pendapatan dan kemampuan anda untuk membayar. Pastikan juga insurans hayat / takaful keluarga yang dibeli mencukupi untuk menampung beban kewangan sekiranya berlaku kematian yang tidak dijangka atau sebelum waktunya.

4 – Menilai polisi semasa insurans hayat / takaful keluarga anda

Jika anda sudah mempunyai polisi insurans hayat / takaful keluarga, sebaiknya jangan membatalkannya sehingga anda menerima polisi yang baru. Anda mempunyai tempoh minimum untuk mengkaji semula polisi baru anda.

Setiap kali anda memperbaharui polisi insurans/ takaful, premium / sumbangan yang akan dicaj mungkin lebih tinggi. Anda boleh bertanya tentang kesan pada premium / sumbangan jika anda terus memperbaharui polisi. Tanyakan juga, adakah anda akan kehilangan hak untuk memperbaharui polisi pada umur tertentu. Hal ini adalah untuk mengetahui apa yang akan terjadi sekiranya anda perlu menukar polisi.

Buatlah keputusan yang terbaik. Anda tidak semestinya perlu membatalkan polisi semasa. Anda mungkin perlu menukar polisi bagi mendapatkan perlindungan dan faedah yang lebih sesuai untuk diri anda dan keluarga.

5 – Bandingkan pelbagai jenis polisi insurans / takaful

Sebelum anda membeli polisi, anda perlu membuat perbandingan polisi-polisi yang boleh memberi perlindungan terbaik mengikut bajet anda. Anda boleh mendapatkan maklumat daripada ejen yang berbeza, buat keputusan kenapa anda perlu memilih polisi mereka dan bukan yang lain. Dengan cara ini, anda belajar meneliti pelbagai jenis polisi insurans / takaful.

6 – Pastikan anda mampu membayar bayaran premium / sumbangan

Sebelum membeli polisi insurans hayat / takaful keluarga, pastikan bahawa anda boleh membayar premium / sumbangan yang dibeli. Berikut adalah peruntukan penting dalam polisi insurans hayat / takaful keluarga :-

  a) Insurans Hayat

Bagi bayaran premium bulanan, tempoh tangguh selepas tamat tarikh bayaran premium ialah 15 hari. Bagi bayaran premium secara setengah-tahunan atau tahunan, tempoh tangguhnya ialah 30 hari. Sekiranya premium / sumbangan masih tidak dibayar pada tempoh tangguh, polisi anda akan luput atau akan tertakluk kepada polisi berbayar kurang atau pinjaman premium automatik.

Berbayar terkurang – Anda boleh berhenti membayar premium seterusnya selepas polisi anda mempunyai nilai tunai. Polisi itu akan terus berkuat kuasa tetapi nilai diinsuranskannya akan dikurangkan.

Pinjaman premium automatik – Sekiranya premium tidak dibayar pada tempoh tangguh, dan dengan syarat bahawa polisi anda mempunyai nilai tunai yang mencukupi, sesetengah syarikat insurans akan secara automatik memberikan pinjaman untuk pembayaran premium yang tertunggak. Faedah akan dikenakan ke atas amaun pinjaman premium yang tertunggak. Pinjaman premium automatik akan mengurangkan nilai tunai polisi anda.

b)   Takaful Keluarga

Tempoh tangguh – anda dibenarkan tempoh tangguh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran ansurans caruman takaful. Jika anda meninggal dunia semasa tempoh tangguh, ansurans caruman takaful yang belum jelaskan akan ditolak daripada jumlah manfaat takaful anda.

7 – Dapatkan bantuan ejen insurans / takaful untuk menilai polisi masa hadapan anda

Anda perlu mendapatkan bantuan ejen untuk mengenal pasti dan menilai polisi anda pada masa hadapan. Contohnya, perkembangan nilai polisi tunai, secara bulanan, tahunan dan pada masa-masa akan datang. Polisi-polisi insurans / takaful mempunyai nilai tunai yang agak stabil sepanjang tahun.

Tanya kepada ejen anda untuk paparan tahun ke tahun tentang nilai dan manfaat polisi anda. Sebagai pelanggan, anda berhak bertanya tentang perkaraperkara seperti berikut :

  • Adakah premium atau faedah yang diperoleh berbeza dari tahun ke tahun?
  • Berapa banyak faedah yang terkumpul di dalam polisi ini?
  • Apakah sebahagian daripada premium / sumbangan atau manfaat yang tidak dijamin?

Semua persoalan di atas dinyatakan dalam polisi anda. Anda boleh bertanya kepada ejen untuk membantu anda memahami perkara yang tidak jelas.

8 – Menyemak polisi insurans hayat / takaful keluarga anda setiap tahun

Bagaimana inflasi akan memberi kesan kepada keperluan masa hadapan anda? Adakah anda memerlukan lebih insurans / takaful apabila saiz keluarga anda meningkat?  Anda perlu mengkaji semula polisi dengan ejen anda setiap tahun untuk mengikut perkembangan dengan perubahan dalam pendapatan dan keperluan anda.

Akhir sekali, berhati-hati apabila membeli insurans / takaful daripada ejen-ejen yang tidak diiktiraf atau ejen tidak berlesen. Pastikan premium / sumbangan dibayar kepada syarikat insurans / pengendali takaful. Pastikan cek atau kiriman wang yang perlu dibayar kepada syarikat insurans / pengendali takaful dan bukan kepada ejen insurans. Dapatkan resit selepas membuat pembayaran sebagai bukti pembayaran. Syarikatsyarikat insurans / pengendali takaful berlesen boleh diperoleh di laman sesawang Bank Negara Malaysia.

Sekiranya anda memerlukan maklumat lebih lanjut, anda boleh menghubungi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di talian 03-2691 6168 dan Persatuan Takaful Malaysia di talian 03-2031 8160.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button