Pelan Perbelanjaan

7 Mitos Tentang Kad Kredit

Ramai orang yang masih berasa takut untuk menggunakan kad kredit selepas mendengar pelbagai cerita yang menakutkan akibat penggunaannya. Ramai juga telah mengatakan bahawa memiliki kad kredit merupakan sesuatu perkara yang buruk jika tidak digunakan dengan betul. Artikel ini akan menjelaskan semua salah faham dan mitos berkaitan kad kredit. Anda perlu mengetahui fakta tentang kad kredit untuk membantu anda mendapat manfaat daripada penggunaannya.

Mitos 1:  Kadar faedah kad kredit dicaj serta-merta selepas penggunaan

Fakta: Apabila anda membuat bayaran dengan kad kredit, anda sebenarnya meminjam wang daripada bank. Tetapi, anda tidak akan dikenakan caj faedah serta-merta. Hampir semua bank di Malaysia mempunyai tempoh bebas caj faedah selama 20 hari untuk penggunaan kad kredit. Jika anda membayar jumlah penuh yang dikenakan dalam tempoh 20 hari tersebut, anda tidak akan dikenakan sebarang faedah. Tetapi, jika anda hanya membuat bayaran minimum, anda akan dikenakan faedah untuk baki yang belum dibayar.

Mitos 2: Anda hanya perlu satu kad kredit sahaja

Fakta: Walaupun memiliki lebih daripada satu kad kredit boleh menyukarkan anda untuk menjejaki penggunaannya, namun mengehadkan pemilikan kad kredit kepada satu sahaja juga tidak bijak. Bergantung kepada perbelanjaan dan gaya hidup anda, adalah lebih menguntungkan jika anda mempunyai kad kredit sesuai dengan perbelanjaan anda. Ini kerana setiap kad kredit mempunyai ganjaran dan kelebihan yang berbeza. Contohnya, satu kad kredit digunakan untuk mengumpul rebat tunai, dan satu lagi digunakan untuk mengumpul Air Miles semasa melancong.

Mitos 3: Menggunakan kad kredit menyebabkan anda menanggung beban hutang

Fakta: Risau anda bakal menanggung hutang jika memiliki kad kredit? Jika anda berdisiplin dalam menggunakan kad kredit, penggunaannya tidak akan menyusahkan anda. Anda tidak boleh bergantung kepada wang tunai semata-mata, terutamanya jika anda boleh terlepas ganjaran yang dimiliki kad kredit dengan begitu sahaja. Malah, anda juga boleh berjimat dalam menggunakan kad kredit yang betul. Caranya, anda perlu menggunakan kad kredit yang sesuai dengan gaya perbelanjaan anda. Sebagai contoh, mereka yang berkeluarga boleh mendapat manfaat daripada rebat tunai kad kredit apabila membuat bayaran petrol atau belanja harian. Jika anda kerap melancong, anda boleh menjimatkan belanja tiket kapal terbang dengan kad kredit Air Miles.

Mitos 4: Memohon lebih daripada satu kad kredit akan memburukkan skor kredit anda

Fakta: Skor kredit anda ditentukan oleh banyak faktor, seperti tahap disiplin anda dalam membayar semula komitmen kewangan. Memohon kad kredit tidak akan mendatangkan kesan negatif kepada skor kredit anda. Apa yang perlu anda fokuskan ialah untuk membuat bayaran tepat pada masanya jika anda memohon kad kredit tambahan. Membuat bayaran yang lewat merupakan salah satu factor utama yang memburukkan skor kredit anda. Jika anda merupakan pemegang kad kredit utama, dan memiliki kad kredit tambahan, ia juga boleh mendatangkan kesan buruk kepada skor kredit anda. Ini terutamanya jika pemegang kad kredit tambahan sentiasa lambat dalam membuat bayaran, kerana akibatnya akan ditanggung oleh pemegang kad kredit utama, iaitu anda.

Mitos 5: Anda hanya patut membuat perbelanjaan besar sahaja dengan kad kredit

Fakta: Anda mungkin menyangka kad kredit hanya perlu digunakan untuk membuat pembayaran bagi perbelanjaan yang besar. Ada juga yang menyangka anda tidak patut berhutang untuk perbelanjaan barang keperluan, seperti makanan atau barangan dapur. Tetapi, berbelanja dengan kad kredit dan membuat bayaran penuh tepat pada masa bermaksud anda tidak akan dikenakan sebarang faedah. Anda juga digalakkan untuk membuat sesetengah bayaran menggunakan kad kredit untuk mendapatkan ganjaran, seperti rebat atau diskaun tambahan. Jadi, anda perlu mengambil kesempatan tersebut dengan menggunakan kad kredit untuk perbelanjaan harian, dan bukan hanya untuk perbelanjaan besar sahaja.

Mitos 6: Memohon kad kredit baru untuk membayar hutang kad kredit adalah tindakan yang buruk

Fakta: Anda mungkin menyangka memohon kad kredit baru untuk membayar baki tertunggak kad kredit yang sedia ada tidak masuk akal. Tetapi, jika kad kredit baru itu menawarkan kadar pindahan baki (Balance Transfer) yang bagus, ia boleh menguntungkan. Contohnya, anda memohon kad kredit baru dengan kadar faedah yang lebih rendah untuk membayar baki tertunggak kad kredit lama anda yang memiliki kadar faedah 16%. Pindahan baki tersebut boleh membantu anda untuk melangsaikan hutang dengan lebih cepat. Pelan pindahan baki juga boleh memberikan kadar faedah yang rendah, atau 0% dari beberapa bank. Tetapi, anda perlu sentiasa berdisiplin dalam membuat bayaran balik tepat pada masanya. Ini kerana jika anda lambat membayar, kadar faedah rendah akan ditarik balik, dan anda akan dicaj kadar faedah yang tinggi.

Mitos 7: Bayaran minimum mencukupi

Fakta: Pemegang kad kredit diwajibkan untuk membuat bayaran minimum sebanyak 3% hingga 5% daripada baki tertunggak kad kredit mereka. Istilah `bayaran minimum’ ini mungkin boleh mengelirukan pemegang kad kredit baru kerana menyangka bahawa jumlah tersebut adalah hutang mereka dengan bank. Sesetengah pemegang kad kredit juga menyangka membuat bayaran minimum sahaja sudah mencukupi.

Katakanlah anda membeli sebuah iPhone7 yang berharga RM3,199 dengan kad kredit anda. Selepas itu, anda hanya membuat bayaran minimum RM140 sebulan. Pada kadar faedah 18% setahun, anda akan mengambil masa 26 bulan (lebih kurang dua tahun dua bulan) untuk melangsaikan bayaran tersebut sepenuhnya. Anda akan membayar sebanyak RM3,884.10, iaitu sebanyak RM685.10 hanya untuk faedah sahaja! Jika anda membayar RM300 setiap bulan, anda boleh melangsaikan bayaran tersebut dalam tempoh setahun, dengan kos sebanyak RM3,512.42, termasuk RM313.42 caj jumlah faedah. Jadi, anda boleh mendapat penjimatan yang lebih banyak dari segi caj faedah dan juga tempoh bayaran jika anda membayar lebih daripada jumlah minimum.

Ingat, anda perlu menyemak baki semasa kad kredit anda apabila anda menerima penyata bulanan. Sebaiknya, anda patut melangsaikan semua baki tertunggak pada setiap bulan. Tetapi, jika anda tidak mampu, pastikan bayaran yang anda buat lebih daripada bayaran minimum untuk mengurangkan caj faedah.

Setelah anda mengetahui mitos dan fakta untuk kad kredit, jangan takut untuk memohon kad kredit untuk memudahkan anda. Ingat, jika digunakan dengan betul, kad kredit boleh mendatangkan banyak faedah!

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 87/Julai 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button