Pelan Penyimpanan

5 Teknik Untuk Tetapkan Matlamat Kewangan Tahun 2017

Sudahkah impian dan matlamat anda dipenuhi pada tahun lalu? Pernahkah matlamat atau impian anda tidak tercapai? Pernahkah anda bermimpi atau membayangkan anda berjaya mencapai matlamat anda?

Kisah sebenar Pemenang Pingat Emas Acara Menembak Sukan Olimpik tahun 1948 dan 1952, Karoly Takacs, seorang tentera Hungary. Beliau mengimpikan untuk memenangi pingat pada Sukan Olimpik sejak tahun 1938, setelah banyak memenangi pingat di peringkat antarabangsa. Impian beliau hampir kecundang apabila mengalami kecederaan pada tangan kanan, yang merupakan satu-satunya impian beliau untuk mendapat memenangi Pingat Olimpik di Tokyo pada tahun 1940. Beliau tidak berputus asa dan berusaha berlatih menggunakan tangan kiri untuk memburu impian dalam tempoh dua tahun.

Namun, pertandingan Sukan Olimpik telah dibatalkan pada tahun 1940 dan 1944 kerana Perang Dunia. Karoly tetap memberikan tumpuan terhadap impian beliau untuk memburu Pingat Emas Olimpik pada tahun 1948. Umur Karoly pada tahun 1938 ialah 28 tahun, manakala pada 1948, umur beliau pula ialah 38 tahun. Agak sukar untuk beliau bersaing dengan pesaing yang baru dan hebat. Namun begitu, hasil daripada usaha beliau, yang memberikan tumpuan dan berazam dengan bersungguh-sungguh, maka beliau berjaya memenangi pingat emas 2 kali bert urut-turut dalam Olimpik.

Matlamat kehidupan hampir sama seperti anda meletakkannya dalam mencapai matlamat kewangan anda. Setiap daripada anda berbeza dari segi pendapatan, umur dan impian kewangan yang ingin dicapai. Matlamat kewangan boleh diletakkan secara bertempoh, iaitu Matlamat Jangka Pendek (kurang dari setahun), Matlamat Jangka Sederhana (1 hingga 3 tahun) dan Matlamat Jangka Panjang (5 tahun ke atas). Walau bagaimanapun, artikel kali ini akan membantu anda menetapkan matlamat Jangka Pendek.

Teknik 1: Tetapkan Matlamat

Senarionya, Fazlin mempunyai satu kad kredit yang masih mempunyai baki tertunggak sebanyak RM2,000.

Matlamat kehidupan hampir sama seperti anda meletakkannya dalam mencapai matlamat kewangan anda.

Beliau berazam untuk menyelesaikan baki tertunggak itu. Sekiranya beliau berazam menjelaskan baki dalam tempoh 6 bulan, anggaran bayaran yang perlu beliau jelaskan dengan pihak bank secara bulanan ialah RM400, dengan mengambil kira 15% kadar faedah tahunan. Maka, Fazlin telah menetapkan matlamat menjelaskan hutang kad kredit dalam tempoh 6 bulan. Selain itu, beliau boleh mencari produk-produk kewangan yang lain bagi tujuan ini, contohnya membuat pemindahan baki kepada bank lain yang menawarkan kadar faedah lebih rendah dengan jadual pembayaran balik yang sesuai.

Beliau juga berazam, selepas selesai menjelaskan hutang, beliau ingin membuat simpanan dalam akaun simpanan dan membeli polisi perlindungan takaful bernilai RM500,000 untuk dirinya.

Teknik 2: Pastikan Anda Benar-benar Ingin Capai Matlamat Tersebut

Fazlin perlu berusaha untuk memastikan matlamat yang ditetapkan itu tercapai dan relevan untuk ditunaikan. Dalam tempoh 6 bulan, Fazlin membuat bajet yang bersesuaian untuk menjelaskan baki bulanan sebanyak RM400. Contohnya, Fazlin perlu mengubah bajet beliau seperti membawa bekal ke pejabat, membeli belah hanya di pasar raya kecil, masak sendiri di rumah, mengehadkan aktiviti percutian di luar negara. Bajet, seperti bayaran balik pinjaman kereta, rumah, pusat jagaan anak, tidak boleh diubah.

Paling penting, Fazlin perlu berazam tidak menambah hutang yang baru dan benar-benar berazam untuk menjelaskan baki tertunggak.

Teknik 3: Kongsikan Matlamat Anda

Fazlin menerangkan kepada suami beliau, Encik Azhar tentang matlamat yang beliau ingin lakukan. Penglibatan ahli keluarga penting untuk membantu anda mencapai matlamat kewangan anda. Libatkan juga anak-anak dalam hal ini, seperti menggalakkan anak anda dan ahli keluarga anda berjimat cermat menggunakan elektrik, air, padamkan suis televisyen apabila tidak menggunakannya dan pastikan televisyen tidak berada dalam mod ‘standby’.

Teknik 4: Tuliskan Matlamat Anda

Teknik menulis sangat berkesan untuk anda praktikkan. Tuliskan azam dan matlamat kewangan anda pada buku catatan yang anda gunakan seharian atau letakkan di bilik tidur atau pada peti sejuk untuk memudahkan anda melihatnya setiap hari. Tanamkan hasrat bahawa matlamat kewangan anda akan tercapai.

Teknik 5: Kekalkan Matlamat dan Tidak Putus Asa

Pada masa anda sedang berusaha mengejar matlamat, sesekali anda mungkin diuji dengan pelbagai dugaan, seperti keluarga ditimpa musibah, kereta rosak atau sebagainya. Anda perlu mengekalkan matlamat dan jangan mudah berputus asa. Rujuk kembali bajet yang anda lakukan, dan sesuaikan dengan situasi yang berlaku. Sentiasa berusaha untuk mencari peluang bagi menambahkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 81/Januari 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button