Pelan Perlindungan

5 Soalan Yang Perlu Ditanya Sebelum Membeli Insurans Perubatan

Pemilihan pelan insurans perubatan yang sesuai boleh menyukarkan sesiapa sahaja yang ingin mencari insurans untuk perlindungan diri mereka. Terdapat beberapa salah faham tentang konsep insurans, seperti polisi yang terendah dan paling asas yang mencukupi untuk keperluan diri. Anda mungkin beranggapan anda tidak memerlukan pelan perubatan peribadi jika anda telah memiliki pelan perubatan daripada majikan. Memiliki kad perubatan bermaksud semua kos perubatan anda akan dibayar oleh syarikat insurans, tertakluk kepada syarat dan terma polisi. Kad perubatan juga akan membantu melindungi anda dalam semua isu berkaitan kesihatan anda.

Dengan pelbagai maklumat daripada ejen insurans, keluarga dan rakan-rakan, anda mungkin berasa runsing dan sukar untuk membuat keputusan. Berikut disenaraikan lima soalan mudah yang perlu anda tanya sebelum memilih pelan perlindungan perubatan.

1. Apakah Perlindungan Yang Diberikan Dalam Pelan Perubatan Saya?

Terdapat pelbagai pelan perlindungan kesihatan di pasaran – dan ini belum termasuk pilihan tambahan (yang juga dikenali sebagai rider). Semua pelan perubatan mempunyai satu ciri asas, iaitu untuk membiayai kos kemasukan ke hospital, pembedahan atau rawatan.

Terdapat dua jenis pelan kesihatan yang anda boleh pilih bergantung kepada keperluan:

  • Insurans Perubatan Jangka Panjang, Kemasukan ke Hospital dan Pembedahan: Pelan perubatan asas yang melindungi kos rawatan di hospital dan kos rawatan susulan.
  • Pendapatan Hospital: Pelan perlindungan kewangan yang memberikan anda pendapatan harian sepanjang rawatan di hospital.

2. Adakah Pelan Perubatan Saya Memberikan Perlindungan Ke Atas Semua Penyakit Dan Kecederaan?

Jawapannya ialah ya. Pelan perubatan anda melindungi kos perubatan penyakit kritikal. Walau bagaimanapun, kos perubatan yang tinggi boleh menggunakan keseluruhan liputan perubatan anda, meninggalkan anda dengan nilai yang kosong untuk perlindungan pada masa akan datang. Di sinilah pelan penyakit kritikal dapat membantu. Pelan penyakit kritikal adalah satu polisi berasingan daripada pelan perubatan anda.

Ramai yang tidak melihat kemungkinan mereka mengalami masalah kesihatan yang serius seperti penyakit kritikal. Diagnosis penyakit kritikal mempunyai pelbagai kesan dalam pelbagai aspek kehidupan, seperti pesakit terpaksa mengambil masa daripada kerja untuk waktu pemulihan, mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk rawatan, terapi atau membeli peralatan perubatan di rumah. Pelan penyakit kritikal memberikan anda penyelesaian kepada masalah kewangan semasa sakit.

3. Adakah Saya Patut Mengambil Pelan Yang Paling Rendah?

Apabila anda telah memutuskan jenis perlindungan perubatan yang anda mahu, perkara seterusnya adalah kos pelan anda atau juga dikenali sebagai premium bulanan. Jumlah yang anda bayar setiap bulan bergantung kepada tiga perkara: jumlah potongan, insurans bersama dan had tahunan.

  • Potongan: Potongan adalah bayaran awal yang anda dahulukan untuk semua penjagaan perubatan anda sebelum insurans diaktifkan. Pelan yang tinggi potongannya bermakna anda bertanggungjawab untuk bahagian yang lebih besar daripada kos penjagaan perubatan anda. Kesannya, anda akan membayar premium yang lebih rendah. Setelah potongan dilakukan, syarikat insurans akan membayar baki kos. Ini sangat ideal untuk mereka yang berdikari dan tidak mempunyai tanggungan.
  • Insurans bersama: Insurans bersama adalah peratusan caj perubatan yang anda bayar, manakala selebihnya dibayar oleh pelan perubatan anda. Sebagai contoh, anda mempunyai 20% insurans bersama, maka anda membayar 20% daripada bil perubatan anda dan pelan anda membayar baki 80%.
  • Had tahunan: Had tahunan adalah jumlah maksimum yang anda boleh tuntut daripada syarikat insurans dalam setahun.

Satu kesilapan yang sering dilakukan oleh ramai orang ialah melihat kepada pelan dengan bayaran premium terendah dan tidak mengira had tahunan atau ciri-ciri lain. Kaji setiap pelan dan pilih kombinasi mana yang sesuai. Terdapat pelan seperti A-Life Med Regular yang mempunyai had tahunan tetapi tiada had untuk jumlah yang anda boleh tuntut sepanjang hayat, manakala A-Plus Med mempunyai ciri untuk meningkatkan jumlah had tahunan bermula daripada tahun ketiga polisi anda. A-Plus Med juga tiada ciri insurans bersama atau caj potongan, bermakna anda tidak perlu membayar apa-apa jumlah daripada caj perubatan anda.

4. Adakah Pelan Perubatan Saya Akan Melindungi Keadaan Kesihatan Saya Sekarang?

Terdapat beberapa keadaan yang tidak termasuk dalam pelan perubatan anda dan ini dipanggil pengecualian khas (major exclusions). Pengecualian ini merujuk kepada keadaan kesihatan yang tidak dilindungi pelan seperti:

  • Penyakit sedia ada, seperti penyakit yang anda sedari telah wujud sebelum bermulanya perlindungan perubatan yang baharu. Hampir semua pelan mempunyai tempoh menunggu untuk keadaan seperti ini.
  • Rawatan atau pembedahan untuk penyakit-penyakit tertentu dalam tempoh yang ditetapkan.
  • Pembedahan kosmetik / berkhatan / lensa pembaikan / rawatan gigi, melainka ia diperlukan untuk merawat kecederaan daripada kemalangan.

Anda perlu merujuk kontrak polisi anda untuk senarai penuh pengecualian.

5. Perlukah Saya Membayar Untuk Kemasukan ke Hospital?

Antara salah faham yang biasa berlaku mengenai pelan perlindungan perubatan adalah anda tidak perlu membayar apa-apa walau satu sen untuk rawatan dan kemasukan ke hospital. Rujuk kembali kepada nombor 3 dan soalan seterusnya, iaitu mengapa saya perlu membayar kemasukan ke hospital saya dengan pelan perubatan?

Meskipun syarikat perubatan menawarkan kad perubatan yang memberikan perlindungan dan akses mudah untuk rawatan, ia bukan satu jaminan bahawa keseluruhan proses itu tidak melibatkan wang. Sesetengah hospital masih memerlukan bayaran wang pendahuluan atau caj pemprosesan.

Sesetengah pelan perubatan juga memiliki ciri-ciri ‘hanya leretkan’ kad kredit untuk kemasukan ke hospital dan ini memudahkan proses kemasukan dan pelepasan pesakit ke hospital-hospital panel.

Untuk mengelakkan anda terpaksa membayar kos perubatan yang tidak dijangka atau kos yang tidak diketahui akibat pengecualian khas, anda perlu mengajukan kelima-lima soalan ini sebelum anda menurunkan tandatangan anda sebagai persetujuan untuk memilih pelan perlindungan perubatan tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 99/Julai 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button