Pelan Pelaburan

5 Langkah Mengawasi Pelaburan Anda!

Jika anda mempunyai pelaburan dalam mana-mana syarikat dana amanah, adakah anda pernah mengawasi pelaburan anda? Berikut adalah beberapa tip yang membolehkan anda memulakan langkah untuk mengawasi pelaburan anda.

Langkah 1: Persekitaran yang Berubah-ubah

Pertama, anda hidup di dunia yang dinamik. Tiada apa dalam persekitaran anda yang statik – ini turut menjadi faktor mengapa pelan kewangan anda, walau sebagus mana perancangannya sekali pun dan sebaik mana pelaksanaannya, perlu kepada perubahan. Katakan syarikat yang anda turut menjadi pemegang saham merosot perniagaannya dan menyebabkan pelaburan anda menghadapi risiko. Macam-macam perkara boleh berlaku. Undang-undang dan peraturan boleh berubah, ekonomi tempatan atau ekonomi dunia boleh meleset (ingat lagi kesan peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia di Amerika Syarikat pada 11 September 2001 yang lalu?).

Dalam keadaan pasaran modal dan kedudukan syarikat-syarikat yang berubah, maka semua ini boleh memberi kesan kepada pelaburan anda. Akibatnya, pelan dan matlamat kewangan anda mungkin juga berubah. Jika ini berlaku, pelaburan anda mungkin perlu juga dirombak semula kerana ia tidak dapat lagi memenuhi matlamat kewangan anda. Dalam perkataan lain, pelabur yang berjaya ialah pelabur yang proaktif.

Langkah 2: Mengubah Suai Pelan Anda

Kedua, anda juga patut mengkaji semula portfolio anda kerana kedudukan kewangan anda sendiri mungkin sudah berubah. Kajian semula ini perlu untuk memungkinkan penyusunan semula pelan dan matlamat anda. Katakanlah, anda menerima durian runtuh dan kini mempunyai lebih banyak wang untuk dilaburkan – bolehlah anda mencorak matlamat kewangan yang lebih besar. Atau, nilai bersih wang anda mungkin telah meningkat melalui pembelian sesuatu harta. Kini tabungan anda untuk pelaburan berkurangan. Oleh itu, anda perlu mengubah suai pelan anda.

Langkah 3: Penilaian Pretasi

Ketiga, anda harus mengawasi dan menilai prestasi pelaburan anda secara berterusan untuk mengetahui kedudukannya. Jika pelaburan itu menunjukkan prestasi baik, mungkin anda perlu melaburkan lebih banyak wang, atau mengeluarkan sebahagian daripada keuntungan dan melaburkannya di tempat lain pula. Jika tidak, anda mungkin perlu memutuskan untuk menjualnya. Kekerapan kajian semula perlu dibuat bergantung kepada saiz dan jangka masa pelaburan anda serta sama ada anda telah memilih aset yang berisiko tinggi atau rendah.

Prestasi pelaburan anda harus diukur melalui jumlah pendapatan yang diperoleh. Jumlah pendapatan merangkumi pendapatan dividen dicampur untung modal setelah menjual pelaburan anda. Untuk mendapatkan peratus pulangan, bahagi jumlah pulangan dengan kos pelaburan dan darab dengan 100. Konsep ini amat penting apabila mahu membuat penilaian untuk melihat prestasi pelaburan anda. Jangan melihat pendapatan daripada dividen sahaja sebagai pengukur prestasi.

Langkah 4: Mengawasi Saham

Anda juga perlu mengawasi syarikat yang sahamnya anda beli, dengan melihat keuntungan, pertumbuhan pendapatan, pengedaran dan pembayaran dividen. Baca pengumuman syarikat, surat pekeliling pemegang saham, laporan tahunan dan interim, serta memberi tumpuan terhadap tarikh tutup hak, waran, pengambilalihan, perolehan, laporan juruaudit dan kepentingan pengarah. Anda juga patut menghadiri mesyuarat tahunan untuk mengetahui bagaimana syarikat itu diuruskan dan untuk mengukur prospek perniagaannya.

Langkah 5: Mengawasi Unit Amanah

Bagi skim pelaburan secara kolektif, seperti unit amanah, anda harus mengawasi pengurus dana daripada segi:

  • Prestasi
  • Strategi
  • Portfolio

Maklumat yang boleh anda minta daripada pengurus dana ialah:

  • Prestasi pasaran pelaburan yang berkenaan
  • Tahap kemudahubahan yang berkaitan dengan pulangan
  • Kadar inflasi
  • Prestasi pengurus dana lain yang seumpamanya
  • Strategi yang digunakan dalam tempoh terdekat

Pengurus dana dinilai berdasarkan perkhidmatan yang mereka sediakan, khususnya prestasi dan laporan. Adakah jangkaan anda mengenai pulangan daripada pelaburan anda sudah dipenuhi? Apakah pengurus dana itu melakukan sebagaimana yang anda jangkakan, misalnya membeli saham mengikut strategi yang telah diatur dan mandat yang diberikan?

Anda juga perlu ingat bahawa hasil pelaburan itu bergantung kepada banyak faktor secara rawak. Data prestasi jangka pendek mungkin tidak dapat menilai kemahiran pelaburan pengurus dana secara tepat.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 69/Januari 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button