Pengurusan Kewangan

5 Cara Mendidik Anak Mengenai Pengurusan Kewangan

Sebagai ibu bapa, tugas memastikan anak anda berada di landasan yang tepat ke arah pengurusan kewangan bijak adalah sangat penting. Semuanya bermula dengan memastikan mereka lebih memahami dan menghargai nilai wang itu sendiri. Malahan, pendidikan yang diberikan sekarang bakal menjadi panduan ketika anak anda dewasa kelak. Terdapat pelbagai cara untuk membantu anak-anak kita memahami tentang wang. Ingat, setiap kanak-kanak adalah unik dan mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza bagi memastikan pembelajaran mereka berjaya.

Setelah membaca artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti lima cara yang boleh digunakan dalam mendidik anak mengenai wang.

  1. Bawa anak pergi membeli barangan dapur

Mungkin anda sering membeli-belah bersama anak-anak. Tetapi untuk sesi berikutnya, apa kata anda memberi peluang kepada mereka untuk membuat urusan membeli-belah sendiri? Cuba berikan sedikit wang kepada mereka, misalnya RM10.00. Seterusnya cabar anak-anak untuk membeli sebanyak mungkin barangan dengan wang yang diberikan. Untuk menjadikan ia lebih sistematik, anda boleh menyenaraikan jenis barangan makanan asas yang diperlukan oleh ‘bank makanan’, seperti susu, roti dan sebagainya.

Satu cara lagi adalah dengan membiarkan anak yang membuat pembelian barangan dapur, sambil membantu mereka dalam membuat pengiraan kos dan sebarang keputusan pembelian. Pastikan anda memberi ganjaran jika mereka memilih harga barangan yang lebih berpatutan!

  1. Libatkan anak-anak anda dalam pengurusan bajet

Jika anak anda sudah cukup dewasa untuk memahami konsep bajet keluarga, apa kata beri peluang untuk mereka bertanggungjawab dalam menguruskan mana-mana seksyen dan kategori dalam bajet tersebut. Mereka boleh bermula dengan memilih untuk menguruskan satu kategori terlebih dahulu. Kategori yang dipilih mestilah dalam kategori perbelanjaan yang fleksibel, yang kita mempunyai kawalan terhadap berapa nilai yang mesti dibelanjakan dalam sebulan. Contohnya bajet hiburan atau barangan dapur.

Biarkan anak anda membuat sedikit kajian untuk mencari harga yang paling berpatutan, dan biarkan mereka meletakkan bajet pada tempat yang dirasakan paling sesuai. Tidak mengapa jika mereka membuat kesilapan, seperti terlebih belanja dan memilih barangan mahal. Ini akan memberikan peluang untuk mendidik mereka tentang perbezaan barangan keperluan dan kehendak, seterusnya menyelesaikan permasalahan apabila berdepan pelbagai pilihan barangan di pasaran.

  1. Tunjuk cara menggunakan aplikasi bajet di Internet

Internet menawarkan pelbagai aplikasi atas talian seperti bagaimana membuat bajet secara mudah, sama ada secara percuma atau berbayar. Contoh-contoh aplikasi sesawang seperti:

Anda juga boleh mengajar anak menggunakan aplikasi kalkulator kewangan peribadi secara online. Jika mereka suka bermain permainan seperti ‘Angry Birds’ dan ‘Fruit Ninja’ di telefon pintar atau komputer tablet, pastinya permainan membuat bajet akan kelihatan seperti satu lagi permainan yang menyegarkan minda mereka.

Melalui aplikasi sesawang ini mereka boleh memulakan pengiraan bajet mereka sendiri. Paling utama, belajar untuk mengira perbelanjaan adalah jalan yang terbaik bagi memastikan mereka mampu menguruskan bajet mereka sendiri nanti.

  1. Bawa anak anda ke bank

Sudahkah anak anda mempunyai akaun simpanan? Jika tidak, apa tunggu lagi? Bawa anak ke bank dan buka akaun sekarang. Selepas membuka akaun, sebagai permulaan, terangkan bagaimana dividen yang diperoleh membuatkan duit mereka bertambah. Bagi menarik minat mereka tentang simpanan, belikan mereka tabung yang mempunyai bentuk yang menarik. Malahan, hampir setiap bank menghadiahkan tabung kepada kanak-kanak yang membuka akaun simpanan atau pelaburan bersama-sama mereka.

Apabila penyata akaun diterima, tariklah perhatian anak-anak anda dengan menekankan betapa pelaburan mereka sudah makin meningkat. Apabila sahaja ia sudah menjadi tabiat, tabung merupakan perkara pertama yang bermain di kepala anak anda apabila diberikan duit.

  1. Biarkan mereka membuat kesilapan, asalkan mereka belajar

Jika anak anda membuat kesilapan dalam pengurusan kewangan, biarkanlah mereka. Hal ini disebabkan jumlah yang terlibat selalunya kecil sahaja. Contohnya, jika dia mahukan satu alat permainan dan berjaya mengumpulkan wang yang cukup untuk membelinya, jangan halang dia daripada membelinya. Ini supaya, dia akan dapat merasai bagaimana perasaan tidak mempunyai duit yang cukup untuk perkara-perkara lain.

Selepas itu, cuba tanya anak anda sama ada pilihan membelanjakan simpanan mereka tepat atau tidak. Anda akan terkejut melihat bagaimana cepat pertumbuhan pemikiran rasionalnya, dan akhirnya anak anda akan bijak membuat keputusan dalam berbelanja.

Kesimpulan

Apabila berbincang tentang mendidik anak-anak mengenai pengurusan wang, anda kena percaya bahawa tiada istilah terlalu awal untuk bermula. Dengan mengajar mereka untuk menghargai nilai wang, anda akan membimbing mereka menjadi seseorang yang sangat bijak menguruskan wang di masa hadapan.

© Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Kandungan artikel ini diterbitkan semula dengan kebenaran SC.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 52/Ogos 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button