Pengguna

12 Syarat Guna Perbankan Internet

Bank di Malaysia kini giat menggalakkan pelanggan menggunakan internet untuk menjalankan urusan perbankan. Internet atau perbankan dalam talian merujuk kepada urusan transaksi perbankan yang dikendalikan menerusi laman sesawang bank dengan selamat.

Perbankan internet membolehkan anda menguruskan kewangan dengan mudah, cepat dan selamat dari rumah, pejabat atau dari mana-mana lokasi atau ketika di luar masa perbankan selagi ada akses kepada internet.

Lazimnya perisian atau perkakasan istimewa tidak diperlukan. Menerusi perbankan internet, anda boleh:

  • Menyemak baki akaun dan penyata akaun.
  • Mengemukakan permohonan untuk akaun, kad kredit dan pinjaman baru.
  • Membuat pelaburan deposit tetap.
  • Memindah wang antara akaun (akaun milik sendiri atau pihak ketiga).
  • Membayar bil, kad kredit, pinjaman dan premium insurans.
  • Menyemak status cek.
  • Memohon buku cek dan penyata akaun tetap.
  • Membuat, meminta atau membatalkan arahan tetap.
  • Memohon arahan menghentikan pembayaran cek.
  • Memohon bank draf dan pemindahan telegraf.

Anda boleh membuat urusan perbankan internet dengan bank yang menawarkan perkhidmatan bagi akaun bank sedia ada, seperti akaun simpanan, akaun semasa, kad kredit dan pinjaman.

Ragu Tentang Keselamatan Perbankan Internet

Walaupun mudah dan menjimatkan masa, masih ramai pengguna bimbang mengenai keselamatan maklumat dan transaksi menerusi internet. Bagi mereka yang terbabit dalam perniagaan internet, termasuk bank, pelbagai usaha secara berterusan dijalankan untuk memastikan internet adalah saluran yang selamat digunakan.

Bagaimanapun, risikonya tetap wujud. Dalam hal ini, pastikan anda sentiasa membuat cetakan bagi setiap transaksi atau urusan di internet. Ini membolehkan anda membuat penyemakan sekiranya berlaku sebarang percanggahan, terutama baki akaun dan penyata akaun yang dihantar oleh bank.

Cetakan itu juga boleh dijalankan sebagai bahan rujukan bagi anda dan pegawai bank, kalau anda mahu mengesan sebarang keraguan ke atas sesuatu transaksi.

Perbankan internet boleh menawarkan urus niaga yang selamat sekiranya anda mengamalkan langkah berikut:

  • Tidak mendedahkan daftar masuk kata laluan atau nombor PIN.
  • Selalu tukar kata laluan atau nombor PIN.
  • Mengelak daripada menyimpan kata laluan atau nombor PIN dalam komputer.
  • Pastikan anda melayari laman sesawang yang betul.
  • Ketika melayari laman web, semak Universal Resource Locators (URL) untuk memastikan URL bermula dengan ‘https’ dan pastikan imej ibu kunci tertutup terdapat pada bar status pelayan web.
  • Selalulah menyemak butir-butir atau rekod transaksi dan penyata yang dihantar oleh bank.
  • Jangan sesekali meninggalkan komputer kalau anda masih mengakses perbankan internet.
  • Sentiasa kunci (log) keluar sebaik sahaja selesai melakukan transaksi dan memadamkan peti memori dan rekod transaksi selepas mengunci keluar (log out) daripada laman sesawang.
  • Lindungi komputer anda daripada virus dan program perosak dengan memasang “firewall”
  • terkini dan program penentang virus yang ada reputasi kukuh. Pastikan juga perisian antivirus dan “firewall” sentiasa dikemas kini agar lebih berkesan.
  • Elakkan daripada memuat turun perisian atau fail daripada laman sesawang yang tidak dikenali atau memasuki pautan yang dihantar oleh orang yang tidak dikenali.
  • Jangan sesekali membiarkan tetingkap pelayar lain terbuka ketika membuat transaksi perbankan dalam talian.
  • Pastikan anda tidak mengaktifkan ciri-ciri ‘perkongsian fail dan pencetak’ dalam sistem pengendalian anda.

Fahami syarat dan peraturannya

Adalah perkara biasa kalau anda membuat kesilapan ketika menjalankan sesuatu transaksi. Kalau ini berlaku, segera hubungi perkhidmatan pelanggan bank dan memberikan butir-butir terperinci berkaitan transaksi atau masalah yang anda hadapi. Bank biasanya mempunyai rekod semua transaksi yang anda jalankan dan mereka sedia membantu mengatasi masalah itu.

Walaupun anda telah biasa mengamalkannya, namun pastikan anda membaca dan memahami syarat dan peraturan perbankan yang anda langgan, terutama berkaitan dengan transaksi tanpa kebenaran atau urus niaga palsu.

Kalau anda berasa was-was, lebih baik anda berjumpa dengan pegawai khidmat pelanggan bank terlebih dahulu. Ini membolehkan anda memahami perkhidmatan itu sepenuhnya sebelum membuat keputusan untuk menggunakan perkhidmatan internet.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 41/September 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button